Kay Ai

There are no facts, only interpretations - Friedrich Nietzsche

Tanpa Tajuk

Tinggalkan buah fikiran anda


Salji berhenti mengikut Saya di pintu masuk stesyen metro. Ketika saya menuruni eskalator menuju ke platform kira-kira 90 meter ke pusat bumi, badan dan bahu Saya tertolak dengan beberapa orang yang berpusu-pusu dan tergesa-gesa mengejar gerabak pagi. Walaupun kekerapan koc setiap 90 saat tetapi setiap stesyen metro adalah seperti lautan manusia yang padat dengan 9 juta penumpang sehari.

Beginilah rutin Saya di Kota Metropolitan Tanpa Nama. Ketika musim sejuk, Saya tidak pernah mengenali matahari dan ketika musim panas, bulan pula memisahkan dirinya daripada Saya. Antara keduanya, adalah wang, akaun, lejar,inflasi, ekonomi, saham, pinjaman kewangan, hutang, bunga, kerugian, keuntungan dan sejenis alatan halusinasi yang hanya dapat dilihat oleh Saya dan sesetengah orang untuk menjerut leher dan darah manusia di dalam sebuah pejabat berkubikel empat segi sama.

Saya teringat suatu hari dahulu apabila seorang pemuda yang berkumis hitam manis duduk di hadapan meja kubikel pejabat Saya. Di matanya ada cahaya yang menerangi harapan yang dimuntahkan dari mulutnya ke atas meja Saya. Katanya, majlis perkahwinannya hanya tinggal sebulan setengah sahaja lagi tetapi wang perbelanjaan masih tidak mencukupi. Dia ingin meminjam sebanyak 50 000 KMTN untuk majlis tersebut. Ya, itulah nama matawang di kota ini. KMTN. Kota Metropolitan Tanpa Nama.

Saya tersenyum. Borang pinjaman peribadinya Saya tandatangani dan luluskan. Dia juga tersenyum. Sambil mengucapkan tahniah di atas perkahwinannya yang bakal berlangsung, Saya menepuk bahunya dan secara senyap-senyap menyangkut alat halusinasi yang digunakan untuk menjerut tengkuk dan mencekik darah betul-betul di leher.

Semejak itu juga setiap bulan ketika dia datang ke meja kubikel pejabat Saya, badannya perlahan-lahan semakin membongkok ke hadapan. Tubuhnya mengecil. Ada bulu-bulu yang semakin panjang di muka, leher, badan, tangan dan kakinya. Matanya yang seperti hablur suatu ketika dahulu semakin membulat. Dagu meruncing ke hadapan. Dia seperti seekor roden.

Ah. Saya tidak dapat memadamkan ingatan Saya terhadapnya. Sedangkan dia bukanlah satu-satunya orang yang telah Saya sangkutkan alat halusinasi di badannya. Mungkin transformasi atau lebih tepat Saya katakan sebagai metamorfosis menajadi tikus yang berlaku di depan mata itulah yang mengakibatkan ingatan seperti terpahat di minda seperti Saya memahatkan nama kekasih di batang pohon Ginkgo pada sembilan musim panas yang lalu.

Suara dari radio pembesar suara memecahkan khayalan Saya.

"Stesyen berikutnya, Bank Sejuta Hutang"

Lamunan Saya terhenti dan seraya itu juga Saya merasakan kocek di seluar seperti berat, penuh dan terisi dengan sesuatu. Saya menyeluk kocek seluar tersebut dan mendapatinya adalah sebiji bom masa.

Rupa-rupanya hari ini Saya bukan sepatutnya ke meja kubikel pejabat empat segi sama Saya. Baru Saya teringatkan pesanan Tok Syeikh Kabir yang mengirimkan pesanan lewat mel elektronik dan aplikasi Telegram dan WhatsApp.

"Kau akan berjihad dan syahid. Kami akan mengirimmu ke pintu syurga. Tetapi untuk masuk dan membuka pintunya, kau perlu membawa seribu nyawa merpati bersama. Itulah kuncinya"

Kay Ai
Serdang

Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

0 ulasan:

Catat Ulasan