Kay Ai

There are no facts, only interpretations - Friedrich Nietzsche

Masuk TIVI

Tinggalkan buah fikiran anda


Roslan keletihan. Dia bersandar di kerusi malas selepas seharian bekerja di pejabat kemudian terpaksa menyambung kerja menjual burger di tepi jalan tidak jauh di hadapan rumahnya. Anak-anak sudahpun masuk tidur. Dia terlihat beberapa surat daripada sekolah dan taska anak-anaknya. Satu meminta bayaran untuk gambar menamatkan persekolahan, satu untuk yuran kelas tambahan dan satu lagi surat kebenaran ibubapa berserta bayaran lawatan sambil belajar ke Petrosains. Anak Roslan yang pertama cukup kagum dengan Datuk Syeikh Muszaphar. Dia nak jadi angkasawan. Tentu lawatan sebegini menaikkan semangatnya lagi untuk menjadi angkasawan Melayu pertama yang ke Planet Neptune pula.

Tapi Roslan tak pasti dari mana dia nak mencari duit lebih lagi. Bukan sikit-sikit. Semua sekali hampir RM300. Dengan RM300 itulah yang biasanya Roslan gunakan untuk bayar sewa rumah flat mereka di tengah - tengah pinggiran urban bandar kosmopolitan.
Roslan menyalakan tivi di hadapannya. Dari satu saluran tivi kepada satu saluran tivi yang lain. Harga petrol naik. Roslan tak kisah walaupun pengumumannya ketika berita jam 12 tengah malam. Kenaikan harga minyak bukanlah kali pertama apatah lagi kenaikkannya untuk kemakmuran negara. Manakala gaji Roslan pula lebih RM100 daripada paras kelayakkan penerima BR1M. Sedangkan beban yang ditanggungnya setiap bulan bukanlah kepalang sikit. Tapi Roslan tetap berusaha menambahkan pendapatan dengan menjual tempeyek dan kerepek secara kecil-kecilan di tempat kerjanya. 

Roslan memicit-micit punat kawalan jauh tivi. Matanya kuyu hampir terlelap hingga matanya terkunci kepada siaran ulangan bual bicara bersama pakar. Isunya kali ini ialah "Bijak Ekonomi Di Aidilfitri". Beberapa tips telah digariskan oleh pakar tersebut termasuklah yang terakhir iaitu saranan tidak pulang ke kampung pada aidilfitri. Bukan sahaja jimat duit minyak, belanja kuih raya malahan duit raya juga tidak perlu dikeluarkan.

Serta-merta Roslan mengeluarkan kunci daripada poket seluarnya lalu membuka matanya yang terkunci. Roslan membuka peti sejuk dan mengambil cili api dari laci terbawah peti sejuk. Roslan kembali ke hadapan tivi dan memasukkan dirinya ke dalam tivi tersebut.

"Nah,rasakan kau cili api ni!" sungut Roslan sambil menyumbat cili api ke dalam mulut pakar seribu pakar tadi.

"Kasihan, tentunya kau masa kecil tak cukup kasih sayang .......,"tambah Roslan lagi. 

Pengaraca, jurukamera dan penerbit tersentak bagaimana Roslan boleh masuk ke dalam tivi dan mencilikan mulut pakar tadi. 

Sedangkan Roslan sendiri juga hairan bagaimana dia boleh memasukkan dirinya ke dalam kotak tivi empat segi sama. Sebagaimana Roslan memasukkan dirinya ke dalam lembah jerlus hutang pinjaman peribadi, dia tidak tahu bagaimana ingin keluar daripada lembah tersebut. 

Tinggallah Roslan di dalam kaca tivi, sebuah dunia seribu fantasi seperti dunia utopia yang bijaksana dan penuh intelektualisma. Kestabilan ekonomi,kadar inflasi yang rendah,kereta terbang bebas minyak bahan pembakar, sifar kesan rumah hijau dan penguin serta anjing laut hidup sebagaimana hidupan di Kutub Utara seharusnya hidup. 

Apa yang Roslan tahu, dia harus keluar daripada dunia dari dalam tivi ini setelah mencilikan keceluparan mulut pakar tersebut. Ramai lagi yang ingin Roslan cilikan mulutnya tetapi hidup penuh kesempitan, Roslan juga tidak punya banyak cili di dalam peti sejuk. Apa yang Roslan tahu juga anaknya ingin menjadi angkasawan Melayu pertama ke Planet Neptune. Mahu tak mahu Roslan mesti keluar dari kaca tivi ini dan menyerahkan duit bayaran ke Petrosains nanti. Roslan hanya menemui jalan buntu.

Kay Ai
Seremban-DPP
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

0 ulasan:

Catat Ulasan