Kay Ai

There are no facts, only interpretations - Friedrich Nietzsche

Mahkamah Mimpi

Tinggalkan buah fikiran anda
Beberapa hari Saya diganggu mimpi rasa bersalah kerana membunuh orang. Walaupun telah bertukar bantal, namun Saya tetap diganggu mimpi yang sama sehingga mengheret rasa penuh bersalah setelah bangkit daripada tidur. Selimut yang ditukar ganti hanya menambahkan resah dan gelisah setiap kali Saya menyelaknya untuk bangun daripada tidur.

Tidak pula bantal, katil, tilam dan selimut yang bertukar-ganti menggantikan mimpi-mimpi Saya. Malahan, walaupun tidur beralaskan tangan, Saya akan bangkit dari tidur dengan rasa lelah dikejar orang selain diheret rasa yang penuh bersalah.

Lantaran itu, Saya memilih untuk berjaga dan tidak tidur lagi bagi mengelakkan rasa yang menyesakkan ini. Masa jaga Saya digunakan mengulangkaji pelajaran dan membaca buku. Namun, semakin Saya tidak tidur semakin sakit kepala dirasakan. Sehinggalah tiba waktu itu Saya menggenggam ijazah kedoktoran ketika majlis konvokesyen.

Hilang segala sakit di kepala kerana rasa gembira yang menggunung di dada sehinggakan Saya terlupa tentang rasa bersalah membunuh orang. Dengan ijazah daripada universiti yang gah, Saya diterima masuk kerja dengan mudah.

Keluar awal pagi, pulang lewat malam. Pagi-pagi Saya terbuang di jalan raya menghidu asap dan jerebu. Letih. Lalu, pada suatu hari, selepas pulang daripada kerja, dengan penuh keletihan, Saya langsung terlena di atas lantai mozaik ruang tamu dengan berbantalkan lengan.

Semenjak dari hari itu, Saya telah terus tertidur dan tidak bangun-bangun lagi. Tiada lagi mimpi yang mengacau hidup Saya.Sekian lama Saya lari sebagai buruan, akhirnya Saya tertangkap setelah terlena. Saya didakwa di Mahkamah Tinggi Mimpi dengan hukuman gantung setelah ditangkap polis dan dipenjara.

Sebenarnya Sayalah pembunuh kepada kehidupan Saya sendiri.

Kay Ai
HUKM
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

0 ulasan:

Catat Ulasan