Kay Ai

There are no facts, only interpretations - Friedrich Nietzsche

Tatkala Saya bangun daripada tidur pada pagi ini, ada kesaktian dari pandangan matanya. Berkali-kali Saya menggosok mata dan menyentalnya seakan tidak percaya dengan apa yang Saya lihat. Perkara terakhir yang Saya lakukan sebelum melelapkan mata pada  malam tadi adalah melayari laman sesawang dan media sosial rasmi dan yang tidak rasmi beberapa pemimpin negara, tokoh sasterawan, agamawan, selebriti, ahli sukan, ahli politik, kawan dan juga lawan. Iya, kata orang, jika ingin mememangi lawan, maka kenalilah dia dahulu.

Sehinggalah Saya tertidur dengan tangan mengenggam erat telefon pintar di tangan. Celik sahaja mata, Saya langsung mengerling ke skrin telefon jika ada sebarang notifikasi dari akaun media sosial. Kosong. Ish. Tiada seorang pun yang menekan butang 'Suka' gambar yang Saya muat-naik semalam. Saya sedikit kecewa tetapi berlalu meneruskan rutin harian. 

Apa yang tidak menyenangkan Saya sebenarnya adalah semenjak bangkit daripada lena, Saya dapati semua orang yang Saya lihat ada label kertas lutsinar di dahi mereka. Mereka langsung tidak menyedarinya tetapi Saya dapat melihatnya.
Saya melihat ada label 'Liberal' di dahi seorang ahli politik ketika menonton wawancara di sebuah televisyen. Ahli panel di sebelahnya pula terdapat label "LGBT" di dahinya pula. Sebelum itu, ketika mendengar ceramah agama di surau berhampiran rumah, Saya mendapati ada label 'Syiah+Wahabi+Salafi' di dahi penceramah. Saya sungguh sangat tidak mengerti. Apa yang Saya lihat ini sangat menganggu rasa dan fikiran Saya.
Ramai lagi yang Saya temui dengan pelbagai label di dahi mereka. 'Kaki rasuah', 'Pembohong Besar', 'Pengkhianat', 'Racist', 'Fake', 'Dayus' 'Kayu Tiga' 'Tikam belakang' dan bermacam-macam lagi. Sungguhpun Saya mencuci mata ini berkali-kali, namun label di dahi mereka masih juga lagi kelihatan dan tidak tertanggal. 

Hinggakan Saya berjabat tangan dengan seorang yang saya fikirkan sebagai sahabat, namun secara tiba-tiba seperti ada label berbentuk tanda harga yang muncul dari tangan kami berdua. Seraya Saya bertanya," Apakah harga persahabatan kita?"
"Semenjak bila kita meletakkan harga pada sebuah persahabatan?"jawabnya sambil melirikkan senyum.
Saya keliru. Buntu. Siapakah yang Saya harus percaya. Mata kesaktian yang mampu melihat segala label dan tanda yang muncul di mata ataupun kata-kata sahabat Saya. Setelah dikhianati oleh bos dan majikan berulang-kali, Saya memilih nombor dua.
Di cermin bilik air, Saya membiarkan sahaja label yang kelihatan di dahinya.
" Prejudis"
Kay Ai
Serdang


Salji berhenti mengikut Saya di pintu masuk stesyen metro. Ketika saya menuruni eskalator menuju ke platform kira-kira 90 meter ke pusat bumi, badan dan bahu Saya tertolak dengan beberapa orang yang berpusu-pusu dan tergesa-gesa mengejar gerabak pagi. Walaupun kekerapan koc setiap 90 saat tetapi setiap stesyen metro adalah seperti lautan manusia yang padat dengan 9 juta penumpang sehari.

Beginilah rutin Saya di Kota Metropolitan Tanpa Nama. Ketika musim sejuk, Saya tidak pernah mengenali matahari dan ketika musim panas, bulan pula memisahkan dirinya daripada Saya. Antara keduanya, adalah wang, akaun, lejar,inflasi, ekonomi, saham, pinjaman kewangan, hutang, bunga, kerugian, keuntungan dan sejenis alatan halusinasi yang hanya dapat dilihat oleh Saya dan sesetengah orang untuk menjerut leher dan darah manusia di dalam sebuah pejabat berkubikel empat segi sama.

Saya teringat suatu hari dahulu apabila seorang pemuda yang berkumis hitam manis duduk di hadapan meja kubikel pejabat Saya. Di matanya ada cahaya yang menerangi harapan yang dimuntahkan dari mulutnya ke atas meja Saya. Katanya, majlis perkahwinannya hanya tinggal sebulan setengah sahaja lagi tetapi wang perbelanjaan masih tidak mencukupi. Dia ingin meminjam sebanyak 50 000 KMTN untuk majlis tersebut. Ya, itulah nama matawang di kota ini. KMTN. Kota Metropolitan Tanpa Nama.

Saya tersenyum. Borang pinjaman peribadinya Saya tandatangani dan luluskan. Dia juga tersenyum. Sambil mengucapkan tahniah di atas perkahwinannya yang bakal berlangsung, Saya menepuk bahunya dan secara senyap-senyap menyangkut alat halusinasi yang digunakan untuk menjerut tengkuk dan mencekik darah betul-betul di leher.

Semejak itu juga setiap bulan ketika dia datang ke meja kubikel pejabat Saya, badannya perlahan-lahan semakin membongkok ke hadapan. Tubuhnya mengecil. Ada bulu-bulu yang semakin panjang di muka, leher, badan, tangan dan kakinya. Matanya yang seperti hablur suatu ketika dahulu semakin membulat. Dagu meruncing ke hadapan. Dia seperti seekor roden.

Ah. Saya tidak dapat memadamkan ingatan Saya terhadapnya. Sedangkan dia bukanlah satu-satunya orang yang telah Saya sangkutkan alat halusinasi di badannya. Mungkin transformasi atau lebih tepat Saya katakan sebagai metamorfosis menajadi tikus yang berlaku di depan mata itulah yang mengakibatkan ingatan seperti terpahat di minda seperti Saya memahatkan nama kekasih di batang pohon Ginkgo pada sembilan musim panas yang lalu.

Suara dari radio pembesar suara memecahkan khayalan Saya.

"Stesyen berikutnya, Bank Sejuta Hutang"

Lamunan Saya terhenti dan seraya itu juga Saya merasakan kocek di seluar seperti berat, penuh dan terisi dengan sesuatu. Saya menyeluk kocek seluar tersebut dan mendapatinya adalah sebiji bom masa.

Rupa-rupanya hari ini Saya bukan sepatutnya ke meja kubikel pejabat empat segi sama Saya. Baru Saya teringatkan pesanan Tok Syeikh Kabir yang mengirimkan pesanan lewat mel elektronik dan aplikasi Telegram dan WhatsApp.

"Kau akan berjihad dan syahid. Kami akan mengirimmu ke pintu syurga. Tetapi untuk masuk dan membuka pintunya, kau perlu membawa seribu nyawa merpati bersama. Itulah kuncinya"

Kay Ai
Serdang


Epistel Kepada Kawan XXII
(Nama Yang Wujud Sebelum Setiap Kata)

aku di sebalik jeriji jendela
bertanyakan erti rindu
kepada hujan dan bumi.

katanya,
"tanyalah pada jentayu
yang berlagu sayu
merintih hujan
pada segugus awan,"

bumi dibasahi hujan
kabus mengaburi mata
aku menuliskan puisi
yang tidak terungkap
dengan kata-kata
di jendela:-

  "Kemarau hati adalah
   negeri tanpa hujan
   Rindu sepi adalah
   sendiri tanpa kawan"

Kau delusisma di setiap
tidur dan jaga dan kau
adalah nama yang wujud
sebelum setiap kata.

Kay Ai




Cerita Seorang Penulis Jadian Yang Menjadi Pohon Ginkgo

Suatu hari Saya mengirim pesanan lewat whatsapp kepada seorang penulis. Kata Saya, Saya ingin membeli bukunya yang terbaru sebagai bacaan dan sokongan. Penulis tersebut menolak permintaan Saya. Katanya lagi, dia mahu menghadiahkan buku tersebut kepada Saya. Saya menjadi segan kerana mana mungkin memiliki sebuah buku yang telah tercurah rasa dan fikirnya dengan percuma.

Lalu Saya berkeras untuk membayarnya walaupun dia tetap ingin memberikannya secara percuma. Penulis tersebut mencari idea dan akal supaya tetap menerima buku tersebut tanpa bayaran.

"Kita tukar buku, bagaimana?"
"Tapi saya tidak memiliki buku," balas Saya.
"Bukankah kau sudah memberikan buku puisi kepada saya?"
"Tapi itu terlalu jauh dipanggil buku....."
"Itu kata kau, penulisnya...."
"Jika novel eloklah dibalas novel, jika cerpen, dibalas cerpen dan puisi dibalas puisi,"
"Tapi saya hanya menulis cerpen dan bukan puisi..."

Saya dan penulis itu berbalas tapi dan menolak untuk mengambil untung di atas satu kepada yang lain.

"Ok. Katakan jujur kepada saya. Bolehkah buku ini memenangi Anugerah atau Hadiah Sastera? Jika tidak, maka saya akan tetap memiliki buku kau dengan membayarnya,"

"Tapi bukankan anugerah dan hadiah sastera itu sebuah cabutan bertuah?" kata penulis tersebut.
"Benarkah? Walaupun ya, itu bukan persoalannya. Bolehkah saya memenenanginya?"

Saya berkeras tetap ingin membelinya dan bukan memiliki buku tersebut secara percuma. Pesanan whatsapp terhenti sehingga di situ. Saya sememangnya sudah tahu jawapannya dan membiarkan hiatus itu membunuh kesenyapan.

Selepas seketika, Saya menegur penulis itu kembali.
"Saya tahu apa jawapannya,"
"Diam bukan kerana tidak mahu menjawab tetapi disibukkan dengan bermacam urusan,"

"Saya menyangkutnya di pintu bilik. Kau ambil lah bila-bila masa kau lapang. Jika kau membayarnya, jangan sesekali mengambil buku saya," tambah penulis itu lagi.

Lewat malam ketika sepi menemankan bulan dan bulan menemankan sunyi, Saya pergi mengambil buku tersebut yang tersangkut di tombol pintunya. Saya membeleknya muka demi muka helaian buku tersebut namun tidaklah Saya menemui apa-apa melainkan pohon persahabatan yang tiba-tiba mengakar dan membelit tubuh Saya hingga tertanam ke dalam tanah kerendahan.

Pada malam itu, Saya menjadi pohon ginkgo yang akarnya menjalar tertanam di tanah kerendahan hingga keesokkan harinya penulis tersebut datang dan bersandar kepada tubuh Saya lalu dia berkata dalam hati yang bisikannya didengari Saya, sebuah pohon ginkgo, "Terus dengan kerendahan hati apabila memegang kemasyhuran nanti"

Saya pun menggugurkan beberapa dedaun ginkgo yang kekuningan untuknya sebagai tanda kenangan dan terima kasih. Penulis tersebut mengambil beberapa daun yang gugur lalu menyelitkannya di antara celah muka surat buku puisi Saya dan berlalu dengan semilir musim luruh.

Kay Ai 

Saya berasa sangat kerdil. Kini buku saya "Rusia Kali Pertama" terdapat di Perpustakaan Negeri Rusia.

Terima kasih banyak Prof Dr Victor Pogadaev!

p/s: Terharunya. Di Perpustakaan Negara, Negeri malah sekolah pun belum lagi sampai. Allahuakbar....


 


----------------------

Я твердо считаю, карлик. Теперь моя книга "Rusia Kali Pertama" доступен в Российской государственной библиотеке.

Спасибо вам большое проф Д-р Виктор Погадаев!

Burnout di kalangan doktor

Saya mulakan dengan merafa'kan doa dan kerahmatan untuk arwah Dr. Afifah yang telah meninggal dunia setelah terlibat dengan kemalangan jalanraya. Arwah seperti ramai maklum melalui laporan media dalam perjalanan pulang selepas bertugas atas panggilan lebih 24 jam.

Burnout bukanlah semata-mata tekanan yang dialami oleh seseorang doktor tetapi ketidakkeupayaan seseorang doktor untuk recover ketika waktu "time-off" mereka selepas bertugas. Ada tiga ciri atau simptom utama burnout:-

1. Kelesuan mental dan fizikal sehingga tidak berupaya untuk "recover" dan "recharge" ketika waktu tidak bekerja.

2. Depersonalisasi seperti perubahan sikap negatif, sarkastik, sinikal terhadap rakan sekerja, pesakit dan lain-lain. 

3. Kurangnya rasa "personal accomplishment" dengan cenderung melihat kepada sesuatu pekerjaan sebagai sesuatu yang negatif dan tidak membawa erti apa-apa.


Banyak kajian serata dunia merentasi tahun yang melihat kepada prevalens dan peratusan burnout di kalangan doktor. Sesetengahnya termasuk di dalam ruang lingkup yang besar keseluruhan anggota kesihatan. Tidak mengejutkan apabila ada yang mencecah sehingga 40-60%. Tetapi adalah mengecewakan saban tahun perkara yang sama tetap berulang.


Kes kemalangan di jalanraya melibatkan doktor yang pulang selepas on call bukanlah kali pertama. Bayangkan pada tengah malam ketika ramai diulit mimpi, sebahagian daripada kita meninggalkan kesenangan, rehat, keluarga dan masa lapang untuk menyelamatkan nyawa seseorang yang ibarat telur di hujung tanduk. Keesokkannya pula, dirinya menjadi mangsa nahas di jalanraya kerana kelesuan. Sungguh, sayu hatinya terasa. 

Kebiasaannya ramai yang bercakap tentang patient safety. Contohnya melalui implementasi perlaksanaan safe surgery saves life tetapi terlalu sikit yang memperjuangkan "safety" dan "healthy" staf perubatan itu sendiri. Bukan sahaja burnout, bahkan pelbagai bentuk pendedahan bahaya yang mengancam doktor dan staf perubatan untuk jangka waktu dekat dan panjang. 

Apatah lagi keselamatan pesakit bergerak hand-in-hand dengan kesihatan doktor yang merawat (mental dan fizikal). Kadangkala sebagai pesakit, kita juga terlihat seorang doktor terbatuk-batuk dan selsema sehingga kita tertanya, ai....doktor pun sakit juga?

Doktor bukan malaikat....

Seringkali juga sesetengah pesakit terus bertindak kasar dan menerjah masuk ke bilik rawatan kerana marah menunggu terlalu lama tanpa mengetahui doktor sedang bertungkuslumus menyelamatkan nyawa seorang pesakit. Bahkan bukan seorang tetapi beberapa orang dalam masa serentak. 

Dahulu saya juga masih ingat, hanya sebiji tamar sahaja yang dapat dikunyah dahulu sebagai berbuka puasa kerana terlalu sibuk melainkan lewat jauh malam bila keadaan telah menjadi tenang untuk menjamah berbuka puasa.

Pokok pangkalnya kelesuan di kalangan doktor dan staf perubatan bukanlah suatu gurauan atau isu terpencil yang boleh senang dinafikan. Berapa ramai nyawa yang kita nak pertaruhkan sedangkan satu nyawa itu sendiri nilainya tiada bertukar ganti. 

:(

Al-fatihah

Kay-Ai


the floating ant by pim van den heuvel

Aku

Aku
sehelai
daun deras
mengikut arus
laju sungai-Mu terus
ke tebing ujana keabadian.

Seekor semut di atas dedaun
gugur dari reranting sukma
menyeberang sempadan
sendiri; itulah aku –
semut kerdil yang
mencari-Mu.


Kay-Ai 
.....
...
..
.


#puisimegi #puisikueyteow #puisi #sastera #sajak #susahnyamenulispuisidansajak #akuyangtuliskauyangpanas 

Previous PostCatatan Lama Laman utama